Kita seringkali mendengar dan dijelaskan
oleh para ulama bahawa Islam adalah agama yang syumul, dengan kata lain
lengkap dalam semua aspek kehidupan yang diperlukan oleh manusia. Bahkan dalam al-quran disebutkan bahawa
pengutusan Rasulullah SAW itu adalah sebagai rahmat keseluruh alam.
Rahmat dan kesejahteraan yang dijamin Allah SWT ini adalah kerana ajaran
dan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Risalah Islam adalah risalah yang sesuai
dipraktiskan pasa setiap masa, zaman dan tempat. Sekiranya semua aspek
dalam ajaran Islam diperaktis dan dilaksanakan, manusia akan dapat
mengecapi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Melalui ajaran Islam, manusia akan dapat
membina tamadun yang gemilang sebagaimana yang dapat dilihat pada era
kegemilangan Islam, ketika pemimpin dan masyarakat teguh berpegang pada
ajaran Islam secara menyeluruh.
Akibat dari kealpaan dan kejahilan yang
ditambah dengan kerakusan para pemimpin dan setengah umat Islam yang
tunduk kepada hawa nafsu dan terpesona dengan habuan dunia dan
kenikmatan yang sementara, Islam mula dipinggir dan ditinggalkan di
belakang. Islam hanya akan diamalkan kiranya boleh mendapatkan
keuntungan dunia semata-mata. Kesannya ketamadunan dan keagungan Islam
yang telah bertahan lebih dari 1300 tahun tersungkur di tangan
musuh-musuh Islam.
Pada tahun 1924 secara rasminya
berakhirnya kerajaan Islam setelah kerajaan Uthmaniah jatuh dan
tersungkur di tangan musuh Islam. Bermula dari saat itu, umat Islam
semakin mundur dan jauh terbelakang dari musuh-musuh mereka sehingga
kini.
Sewajarnya diingatkan, bahawa di antara
faktor-faktor yang menyebabkan jatuh dan mundurnya umat Islam sehingga
kini ialah kerana mereka tidak mampu untuk membuat pertimbangan ilmiah
dengan sebaiknya di antara maslahat dan mafsadah. Justeru, mereka telah
mengutamakan perkara yang tidak patut didahulukan dan membelakangkan
perkara yang patut diutamakan. Yusuf al-Qardawi dalam bukunya Awlāwiyyāt al-Harākāt al-Islāmiyyah fī Marhalah al-Qādimah
menyatakan, di antara perkara-perkara yang dilakukan oleh umat Islam
pada zaman kejatuhannya yang sehingga kini masih kekal diamalkan ialah:
- Mereka tidak mengindahkan (sampai kepada suatu batas yang amat keterlaluan) fardu-fardu kifayah yang berkaitan dengan umat secara menyeluruh. Seperti peningkatan kualiti ilmu pengetahuan, perindustrian, dan kepiawaian dalam peperangan, ijtihad dalam masalah fiqh dan penyimpulan hukum dan lain-lain lagi.
- Di samping itu, mereka juga mengabaikan sebahagian fardu ain, atau melaksanakannya tetapi tidak sempurna. Seperti meninggalkan kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
- Perhatian mereka tertumpu kepada sebahagian rukun Islam lebih banyak, dibandingkan perhatian mereka kepada sebahagian rukun yang lain. Ada di antara mereka yang memperhatikan puasa lebih banyak daripada perhatian terhadap solat.
- Mereka memperhatikan sebahagian perbuatan sunah lebih daripada perhatian mereka terhadap perbuatan yang fardu dan wajib. Mereka lebih suka memperbanyak zikir, tasbih, dan wirid, tetapi mereka melupakan fardu yang diwajibkan atas mereka: iaitu perbuatan fardu yang bersifat sosial, seperti: berbuat baik kepada ibu bapa, silaturahim, mengasihi orang-orang yang lemah, memelihara anak yatim dan orang-orang miskin, menyingkirkan kemungkaran, dan menyingkirkan kezaliman sosial dan politik.
- Mereka memiliki kecenderungan yang lebih besar untuk mempedulikan ibadah-ibadah individu, seperti solat dan zikir, dibandingkan perhatian yang diberikan kepada ibadah-ibadah lain yang besar sekali faedahnya, seperti jihad, fiqh, memperbaiki jalinan silaturahim di antara manusia, bekerja sama dalam melakukan kebaikan dan ketakwaan, saling menasihati dalam melakukan kesabaran dan kasih sayang, menganjurkan kepada keadilan dan mushawarah, memelihara hak-hak asasi manusia, khususnya memberikan perlindungan kepada orang-orang yang lemah.
- Akhir-akhir ini kebanyakan di antara mereka memiliki kecenderungan untuk mempedulikan masalah-masalah cabang (faruciyah) dan mengabaikan masalah-masalah pokok (usul). Padahal, mereka yang terdahulu telah mengatakan, “Barang siapa mengabaikan pokok (usul), maka dia tidak akan pernah sampai kepada tujuannya.” Mereka melalaikan asas pembinaan secara keseluruhan, yakni aqidah, iman, tauhid, dan keikhlasan dalam membela agama Allah.
- Di antara kesalahan yang mereka lakukan juga ialah kesibukan kebanyakan manusia dalam memerangi hal-hal yang makruh dan shubhah lebih banyak dibandingkan dengan kesibukan mereka memerangi hal-hal yang diharamkan dan telah menyebar luas dalam kalangan mereka atau mengembalikan kewajiban yang telah hilang. Contohnya ialah kesibukan mereka tentang perkara yang masih diperselisihkan halal dan haramnya dan tidak memperhatikan hal-hal yang telah dipastikan haramnya.
Ada orang yang senang sekali
memperhatikan masalah-masalah khilafiah ini, seperti masalah mengambil
gambar, dan bernyanyi. Seakan-akan mereka tidak memiliki perhatian lain
selain kepada hal-hal yang sedang berkecamuk di sekeliling mereka, serta
menggiring manusia kepada pendapat mereka. Pada saat yang sama, mereka
lupa terhadap masalah yang lebih besar berkaitan dengan keberlangsungan
umat yang pada saat ini cukup mengkhuatirkan
.
.
Ketamadunan dan era kegemilangan Islam
akan dapat kembali menyinar sekiranya kita mengubah dan meniggalkan
faktor-faktor yang menyebabkan umat Islam mundur dan lemah. Allah SWT
berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment