Dalam hubungan teknologi dan kejuruteraan, para
cendekiawan Islam terdahulu mendapati terdapat dua prinsip asas Islam
terdapat di dalam bidang kejuruteraan, iaitu pertama Konsep Kesetaraan
(atau mizan) dan keduanya Konsep Keseimbangan (atau tawazun). Dalam
Islam al Mizan merupakan kaedah manusia diukur dari perbuatan baik dan
mungkarnya. Manakala dalam sebuah sistem kejuruteraan, prinsip al Mizan
membawa maksud bahawa tiap-tiap sesuatu itu berada di dalam kedudukan
yang betul di dalam sistem keseimbangan, atau tawazun sistem itu
keseluruhannya diperlukan untuk mengekalkannya di dalam kedudukan
tersebut. Sebagai contoh, dalam kejuruteraan
kimia, prinsip al Mizan digunakan untuk memahami bahan dan aliran
tenaga. Begitu juga dalam kejuruteraan awam dan mekanik, tindakan daya
dan momen menggunakan prinsip yang sama, sementara dalam kejuruteraan
elektrik prinsip kesetaraan digunakan pada cas elektrik.
Dari
segi sumbangan cerdik pandai Islam kepada perkembangan teknologi dan
kejuruteraan, sejarah telah membuktikan sumbangan yang besar telah
mereka curahkan dan kesannya masih lagi dapat dirasai hingga ke hari
ini. Sebagai contoh, sumbangan kejuruteraan
mekanikal yang utama dalam teknologi Islam ialah alat mengangkut air
untuk kegunaan bagi tujuan pengairan, perumahan, industri dan lain-lain.
Mesin pengangkut air yang pertama digunakan di Mesir dan Syria dan
dipanggil Shaduf. Alat ini mudah dan murah dan masih digunakan hingga ke
hari ini di Mesur. Sementara dua lagi jenis pengangkut air dinamakan
saqiya dan nau'ra. Saqiya digerakkan oleh tenaga binatang ternakan,
manakala nau'ra digerakkan oleh kuasa air.
Dua
tokoh jurutera Islam sekitar kurun 12M, yang menguasai ilmu kejuruteraan
ialah al Jazari dan Taqi al Din. Mereka telah berjaya membuat
modifikasi kepada shaduf dan menerangkan kaedah penggunaannya di dalam
kitab-kitab karangan mereka. Mesin yang telah dicipta telah digunakan di
Sungai Yazid di Damascus. Di mana mesin ini berfungsi menerusi roda
yang separuh terbenam di dalam sungai dan berputar disebabkan oleh
aliran sungai tersebut.
Sementara Taqi al Din pula di dalam kitabnya,
menerangkan alat mengepam air dengan menggunakan roda berskoop. Satu
perkara yang menakjubkan tentang alat ini ialah kemampuan juruteranya
mencipta silinder piston yang dapat mengepam air ke atas. Silinder
piston telah digunakan oleh Taqi al Din pada alatnya untuk menghasilkan
satu paduan daya tolakan mengepam air ke atas. Manakala
Banu Musa bersaudara pula telah berjaya mencipta mesin yang menggunakan
bantuan air dan angin. Di mana ciptaan mereka ini digunakan untuk
memesin jagung, menghancurkan gula dan mengepam air. Mereka juga berjaya
mencipta satu bejana automatik yang boleh mengisi bejananya sendiri.
Sementara
itu, kejuruteraan awam juga memberikan sumbangan yang cukup besar
terhadap perkembangan teknologi Islam di zaman kegemilangannya.
Teknologi bangunan yang mempunyai kaitan rapat dengan bidang arkitek,
berjaya menonjolkan teknologi senibina Islam yang mengkagumkan seperti
Masjid al Aqsa di Jurusalem, dan juga Masjid Umayyad di Damascus, yang
kedua-duanya dibina pada kurun ke 7M. Teknologi
kejuruteraan jalanraya dan jambatan Islam yang boleh dikagumi ialah
pembinaan jambatan Shahristan di Isfahan, Iran pada kurun ke 12M, yang
mempunyai gerbang yang berbilang-bilang atau bersegmen.
Dalam
kejuruteraan hidrologi pula, sumbangan orang Islam juga sangat besar.
Contohnya, ketika pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz, beliau telah
mengarahkan pembinaan terusan yang panjangnya 10 km, untuk mengalirkan
air sungai Furat ke Basrah sebagai sumber air disebabkan kemarau yang
panjang. Terusan lain yang dibina oleh khalifah Umar Abdul Aziz ialah
yang menyambungkan sungai Nil dengan Laut Merah yang panjangnya melebihi
100 km, dengan tujuan pengangkutan yang lebih cepat dapat dilakukan
berbanding dengan pengangkutan darat. Manakala di
Parsi pula, teknologi air bawah tanah telah dibina di sekeliling bandar
Isfahan dengan mengalirkan air daripada Sungai Zayandirud. Air daripada
sungai ini telah dialirkan ke anak-anak sungai yang lain bagi kegunaan
pertanian dan perumahan. Pembinaan sistem air bawah ini yang juga
dikenali sebagai "qanat" yang direka oleh jurutera awam Parsi ini adalah
di antara sistem pembinaan yang mengkagumkan. Kaedah pembinaannya telah
diterangkan oleh seorang ahli matematik Parsi yang bernama al Karaji.
Teknologi ini amat berguna untuk mengelakkan berlakunya pengewapan air
di padang pasir yang panas, di mana perancangan dan penyelenggaraan
projek ini memerlukan penelitian yang rapi dan tersusun.
Begitulah
sebahagian di antara sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh
jurutera-jurutera Islam pada masa lampau. Sebenarnya terdapat beberapa
faktor yang menggalakkkan penemuan baru dalam teknologi Islam
terutamanya sekitar kurun ke 8 hingga ke 12 M. Pertamanya, ialah peranan
yang dimainkan oleh Islam melalui ajarannya merupakan satu daya
dorongan yang tinggi dalam pencapaian teknologi pada kurun tersebut.
Sebagai contoh, ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
adalah pendorong kepada umat untuk menimba ilmu, iaitu, surah al Alaq,
ayat 1 hingga 5, yang bermaksud;
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Dia telah menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Dia telah menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Faktor kedua ialah meningkatnya
taraf kehidupan dalam bandar-bandar yang didiami oleh orang-oang Islam.
Keperluan-keperluan kepada alatan-alatan baru dan canggih pada masa itu
perlu dicari dan direka bagi memenuhi suasana dan keperluan kehidupan
pada masa itu. Seiring dengan itu juga, kesemua kejayaan ini telah
berjaya membentuk budaya dan tamadun Islam yang tinggi dan gemilang
serta tersebar jauh ke setiap pelusuk dunia. Menerusi kejayaan inilah
juga ahli-ahli saintis dan sarjana-sarjana Islam bebas bergerak dan
mengembara untuk bertemu dengan pakar-pakar ilmuan yang lain. Dengan
cara ini ilmu itu terus berkembang dan dimanfaatkan.
Demikianlah
secara ringkas kejayaan umat Islam terdahulu dalam bidang teknologi dan
kejuruteraan. Sebagai kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah
memahami bahawa sains dan teknologi tidak pernah bercanggah dengan
ajaran Islam. Bahkan pencapaian dan penerokaan sains membolehkan umat
Islam lebih memahami dan meyakini akan keagungan Allah s.w.t. Oleh itu,
umat Islam perlulah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang
bermanfaat dan menguasainya, sehingga kita sekali lagi mampu untuk
mencapai zaman kegemilangan Islam.
No comments:
Post a Comment